Thursday, July 23, 2009

kedudukan wanita dalam agama


Islam Satu-satunya Agama Keadilan


Sehingga hari ini, tidak ada satu agama pun yang mampu mencabar prinsip-prinsip keadilan yang terkandung dalam Islam. Islam merupakan satu-satunya agama yang mencakupi segenap aspek kehidupan manusia dan mengemukakan sebuah jalan hidup yang lengkap dan bersesuaian dengan fitrah kemanusiaan mereka.


Demi membuktikan kesahihan dakwaan ini, marilah kita menganalisis prinsip-prinsip sosial agama-agama besar di dunia, selain daripada Islam. Untuk mengecilkan skop perbandingan, cukuplah sekadar membandingkan mengenai isu wanita dalam agama-agama yang besar dunia seperti agama Hindu, Yahudi dan Kristian.


Dalam konteks agama Hindu, status wanita mempunyai kontroversi. Di dalam kitab suci Manu Smriti yang menjelaskan tentang undang-undang agama Hindu disebutkan: “Jangan percaya pada wanita. Jangan duduk berseorangan dengan wanita walaupun dia ibumu, anak perempuanmu, atau anak saudaramu, kerana mereka akan menggodamu.”1


Dalam Manu Smriti 7:416-417 dijelaskan: “Seseorang isteri, anak dan hamba tidak boleh memiliki sebarang harta. Harta yang mereka peroleh adalah milik tuan (lelaki) yang menguasau mereka.” Dalam kitab yang sama juga menegaskan bahawa: “Tidak ada kemerdekaan bagi wanita dalam masyarakat.”2


Dalam agama Judaisme (Yahudi) pula, banyak ajaran-ajaran yang menghina kedudukan kaum wanita. Contohnya, dalam Perjanjian Lama ia menyebut: “Tidak ada kejelikan yang setanding kejelikan wanita... Dosa bermula daripadanya dan kerananya kita terpaksa mati.” (Ecclesiasticus: 19 dan 24)3


Dalam Talmud San. 71a, Git. 62b menegaskan bahawa: “Bagaimana seseorang wanita boleh memiliki apa-apa keranaapa saja yang dimilikinya adalah milik suaminya.”4


Dalam agama Kristian pula, Hawa dianggap sebagai punca kesalahan Nabi Adam a.s. maka Hawa dihukum. Jesteru itu, wanita diarahkan supaya sentiasa tunduk kepada lelaki.5


Demikianlah sedikit sebanyak contoh-contoh daripada ajaran agama-agama lain mengenai wanita.


Apa yang jelas, Islam merupakan satu-satunya agama yang masih wujud sehingga hari ini, yang memperjuangkan hak-hak wanita dan menjaga kemaslahatan mereka. Dalam bidang kekeluargaan juga, Islam jelas memperjuangkan hak-hak para isteri dan anak-anak.


Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “...dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri) dengan pergaulan yang baik...” (Surah An-Nisa’: 19)


Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Qur’an lagi yang bermaksud: “...dan para wanita (isteri) mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf (baik)...” (Surah Al-Baqarah: 228)


Rasulullah s.a.w. juga pernah ditanya: “Apakah hak seorang isteri atas suaminya?” Rasulullah s.a.w. pun menjawab: “Engkau memberikannya makan jika engkau makan, engkau memberinya pakaian jika engkau berpakaian, dan janganlah engkau memukul mukanya, atau menghinanya (menyatakan bahawa dia tidak cantik dan sebagainya) dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di tempat tidur” ( Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Abu Daud r.h.l.)


Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud: “Kewajipan kamu (suami) ke atas isteri adalah dengan berbuat baik kepadanya, memberi makanan dan pakaian kepadanya.” (Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi r.h.l.)

Jelaslah bahawa, ajaran-ajaran Islam menitikberatkan soal penjagaan terhadap wanita dan meletakkan hak-hak yang tinggi dan mulia kepada bagi wanita, yang tidak ada pada agama-agama selain daripada Islam.


Jadi, baik tamadun Barat, mahupun agama-agama lain, tidak dapat menjamin kesejahteraan manusia dengan penerapan prinsip-prinsip keadilan masyarakat yang sempurna. Hanya agama Islam sahaja yang mampu untuk mengemukakan keadilan yang sebenar dalam rangka untuk mendaulatkan kesejahteraan dalam kehidupan manusia seluruhnya.

1 Dr. Zainal Abidin, Dakwah Remaja

2 Ibid m/s 79

3 Ibid m/s76

4 Ibid

5 Rujuk Kitab Bible, 1 Timothy 2: 11-14

(Ringkasan daripada tesis kajian: Dialog Ketamadunan Antara Tamadun Islam dan Tamadun Barat (2005) oleh al-faqir ila Rabihi Al-Jalil, Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin, Institut Pengajian Ar-Razi, Pulau Pinang )

0 cakap-cakap: