Setelah sekian lama aku duduk di meja persatuan itu, akhirnya aku membulatkan hati untuk menjadi proaktif. Aku sudah tidak tertahan melihat mereka di sebelah begitu ramah menyapa orang yang lalu-lalang tapi aku pula seperti patung busana muslimah yang didudukkan di atas kerusi sebagai pameran tambahan di meja persatuan.
Mula-mula aku senyum dan berusaha mengangkat pandangan kepada orang yang lalu-lalang. Senyum aku perlu lebih sikit sebab ia dinilai dari ekspresi mata sahaja. Dan bukan semua orang senang nak memahami senyuman mata. Disebabkan ramai sangat orang, mulut aku sangat lenguh jadi aku sepetkan mata sepuas hati sahaja supaya aku dikatakan sedang senyum he he.
Namun mungkin masih belum cukup. Tak ada orang singgah lagi ni. Kena proaktif lagi.
"Hye! Would you like to joint us?" Itu ayat pertama yang terpacul dari mulutku kepada seorang perempuan cina yang kelihatan berminat membaca artikel di meja persatuanku. Akhirnya ada yang menyinggah. Dalam hati aku menggelabah dan menyumpah, 'Buatlah ayat bunga-bunga sikit dulu aduh kau ini.'
"Tak mengapa. Saya cuma nak melihat-lihat," katanya dalam bahasa Inggeris.
Aku fikir. Tak mengapa. Teruskan! Proaktif! Proaktif!
"Sekarang persatuan ini dibuka untuk semua. Walaupun anda bukan beragama Islam."
"Ya, saya tahu," katanya sambil tersenyum.
Tapi aku lihat dia lebih cenderung kepada islam itu sendiri berbanding persatuan Islam. Sedangkan dalam kepala aku ketika itu sibuk merancang untuk meramaikan orang dalam persatuan Islam. Sampai jadi terlupa matlamat hakiki untuk meramaikan orang dengan Islam. Jadi cepat-cepat aku bertanya kepadanya mungkinkah dia ingin tahu tentang Islam.
Dia kelihatannya berfikir dahulu.
"Sebenarnya saya mempunyai seorang sepupu yang telah masuk islam," katanya membuka cerita.
"Oh."
"Bolehkah saya bertanya sesuatu?"
"Ya, silakan."
"Jika saya bertanya kepada anda 'Apa itu Islam?', apakah yang akan anda katakan?"
Kepalaku penuh berisi tapi lidah Inggerisku karat macam besi. Aku berdoa dahulu semoga Allah memudahkan urusanku.
"Aa..er..hmm.."
"Anda boleh bertutur dalam Bahasa Melayu? Jika ya, silakan. Dalam mana-mana bahasa yang memudahkan anda," ujarnya.
"Oh, ya, ya." kataku, malu. "Islam itu maksudnya tunduk dan patuh pada perintah Allah seluruhnya. Kita menyerahkan diri kita kepada Allah semata-mata. Kamu tahu, sebenarnya Islam itu bukan sekadar 'agama' dari sudut yang manusia selalu pandang. Ia menyeluruh. Islam itu ekonomi, politik, sosial, akhlak, dan semuanya. Sehinggakan cara kita bercakap dengan orang lain seperti sekarang ini, juga diajarkan dalam Islam."
Ketika itu tidak semena-mena orang ramai berkumpul untuk melihat perbualan kami seperti berkumpul melihat keraian. Yalah, aku pun bersemangat tanpa disedari apabila mula bercakap dari hati. Siap dengan gaya tangan ke langit. Mungkin itu menarik perhatian semua orang. Semoga mereka tahu, Islam itu terbuka untuk mereka dan semua.
Dia juga bertanya soal purdah yang aku pakai. Aku dengan berbesar hati bercerita tentang isu itu kepadanya.
Dan kami terus bersoal jawab satu dua soalan lagi. Dan akhirnya berkenalan. Bersalaman.
"Sebenarnya saya juga pergi ke meja-meja persatuan agama lain untuk bertanya. Saya tidak berpegang dalam mana-mana agama pun."
"Oh. Silakan bertanya lagi bila-bila masa sahaja jika anda mahu lebih mengenali islam."
Selepas dia pergi, mereka di meja sebelah-menyebelah masih memandang-mandangku dengan wajah ingin tahu berbaur cemburu. Semoga mereka cemburu untuk mengenali islam juga.
Dan selepas itu, aku semakin bersemangat untuk menguasai Bahasa Inggeris. Aku juga semakin yakin untuk bersosial. Ya, aku ada Islam yang paling haq jadi mahu takut apa jika kita di pihak yang benar. Yakin! Proaktif!
Aku kemudian berjalan dengan rasa bahagia berkembang, dengan rasa 'izzah akan Islam yang mencelup seluruh jiwaku sambil merasa aura cemburu mata yang memandang. Alhamdulillah.
Sedang aku promosikan keahlian kepada kawan-kawan melayuku, tiba-tiba aku nampak dia datang semula ke meja kami. Kali ini dia bawa buku nota dan sebatang pen bersamanya. Aku terkejut juga dengan kesungguhan dia untuk mengenal islam. Dalam masa yang sama aku berasa sangat malu, terpukul kerana aku fikir selama ini mereka di universiti ini tidak berminat mengenali islam.
Aku menjemputnya ke tepi meja supaya perbualan kami tidak terganggu dengan pengunjung meja persatuan yang lain. Dia mengangguk senyum.
"Boleh ulang kembali apa yang anda ceritakan kepada saya tadi? Saya mahu catatkannya."
Terkejut yang aku alami tadi semakin dikejut-kejut. Memang dia bersungguh-sungguh. Aku rasa sangat terharu dan berdebar-debar.
Aku ada masalah memori. Aku pernah terlupa membuat assignment. Aku pernah menyebut nama orang dengan nama yang lain setelah berkenalan dengannya baru beberapa saat.
Aku dah lupa apa yang diceritakan kepadanya tadi. Namun, aku cuba mengingat kembali dengan susah payah. Mujurlah dia yang banyak mengingatkan aku apa point utamanya. Jadi, tugasku cuma menerangkan kembali sambil tersengih-sengih malu.
Kemudian, aku lihat dia mencatat apa yang aku katakan. Buat pertama kali aku terasa seperti ditemuramah wartawan akhbar Utusan.
"Tolong terangkan kepada saya, tentang syurga dan neraka," soalan baru ditanya.
"Syurga itu sangat indah, buat mereka yang membuat kebaikan. Dan neraka itu sangat menakutkan dan menyakitkan, untuk mereka yang membuat dosa" jawabku dengan penuh ekspresi.
"Jika saya tidak beriman, saya akan masuk neraka?"
"Secara teorinya, orang yang tidak beriman akan masuk neraka. Namun, semua keputusan di tangan Tuhan. Manusia tidak mampu membuat apa-apa kesimpulan."
"Saya pernah dengar, orang Islam yang berdosa akan masuk neraka. Namun, akhirnya mereka akan masuk syurga juga."
"Benar, tapi anda harus tahu satu hari di neraka itu sangat panjang. Bersamaan 60 tahun di dunia. Dan manusia tidak mampu bertahan walaupun sesaat."
Dia mengiakan.
"Apa yang harus saya lakukan supaya saya masuk ke syurga? Adakah manusia akan masuk syuga jika melakukan kebaikan?" Tanyanya lagi.
Tak semena-mena aku senyum.
"Anda harus tahu, kebaikan yang paling besar dan utama adalah beriman kepada Allah. Kebaikan selain itu, yang datang tanpa iman dan tidak bermatlamatkan Allah sebagai Tuhan, telah digambarkan Allah seperti debu-debu berterbangan. Tidak bermakna langsung."
Dia mengangguk.
"Bagaimana jika orang yang tidak pernah tahu tentang islam? Adakah dia akan masuk neraka juga?"
"Secara teorinya, ya. Kerana dia bersalah kerana tidak berusaha mencari kebenaran. Namun, dalam masa yang sama orang-orang islam akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. 'Mengapa mereka tidak menyampaikan tentang islam kepada orang-orang ini?' " Ketika ini aku bersa sangat terpukul dengan jawabanku sendiri. Hati aku berdebar-debar dengan pertanggungjawaban yang aku ambil remeh. Aku rasa malu padanya ketika itu tapi aku tahan saja.
"Jika saya masuk Islam (beriman), adakah Tuhan akan maafkan dosa saya supaya saya boleh terus masuk ke syurga?"
Aku terasa seperti mahu melonjak kegembiraan pada ketika itu. Aku memiliki perasaan yang kuat untuk memeluknya ketika itu. Tapi aku tahan sahajalah dulu.
"Sudah tentu!"
"Walaupun dosa saya banyak?" Dia nampak ragu.
"Ya. Allah itu Maha Pengampun, Dia akan mengampunkan dosa kita walaupun sebesar gunung sekalipun, walaupun sebanyak lautan, selagi kita bertaubat dengan sebenar-benarnya."
Aku nampak matanya berkaca. Ternyata dia hampir menangis ketika itu.
"Anda harus tahu, Allah itu Maha Berkuasa, Dia Maha Mengetahui. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur ke bumi tanpa pengetahuan-Nya. Dia tahu perkara tersembunyi walaupun seekor semut hitam kecil di atas batu hitam di dalam malam yang gelap gelita. Dan kalam Tuhan itu... sangat banyak. Walaupun semua air di lautan ini digunakan untuk menulis kalam Allah, air laut itu akan habis walaupun kita ganda dengan lautan yang sama banyak dengannya."
Aku pun hampir menangis. Ketika itu aku baru tersedar, perasaan orang yang islam sejak kecil seperti aku sangat tak sama dengan yang lambat memeluk islam. Kita sungguh bangga dengan title islam itu sehingga mendengarkan cerita tentang kebesaran dan kekuasaan Allah pun tidak membawa apa-apa perasaan. Mungkin disebabkan kita telah mendengarkan perkara yang sama sejak kecil. Aku ingin ucapkan terima kasih kepada gadis ini kerana disebabkan dia, aku telah meletakkan diri aku ke dalam diri yang lain serta memahami islam dari kaca mata orang yang baru mengenali Tuhan.
Subahanallah. Indahnya perasaan itu. Seolah-olah mendakwahi diri sendiri.
p/s: Cerita ini bukan untuk pujian. Saya hanya ingin beri perkongsian kepada orang lain bahawa tugas kita di dalam hidup ini bukanlah semudah berfoya-foyaan tapi bukanlah sesusah dakwah Rasul Allah. Peristiwa ini benar-benar memberi motivasi dan keyakinan kepada diri saya untuk hidup sebagai hamba Allah yang 'lurus' walaupun terperangkap sebagai orang asing di dalam sebuah universiti antarabangsa. - Tidak perlu jadi sekular.
ini adalah kisah yang benar2 berlaku, satu pengalaman yg sgt bermakna buat si penulis..
cerita ni aku dapat dari bulletin board kt friendster..thanks tuk cik farah
cerita ni aku dapat dari bulletin board kt friendster..thanks tuk cik farah
0 cakap-cakap:
Post a Comment